Saturday, April 19, 2014

RUKUN IHSAN


Bismillah,,assalamualaikum

Terdapat tiga perkara yang menjadi asas atau prasyarat dalam bab ihsan. Apabila ketiga-tiga prasyarat tersebut seperti yang akan diterangkan pada tazkirah kali ini dapat dilaksanakan dengan penuh sempurna maka tercapailah maksud ihsan dalam erti kata yang sebenarnya.

PENCERAHAN:
Umum mengetahui Rukun Islam dan Rukun Iman, namun tidak ramai yang mengetahui akan Rukun Ihsan. Kita sudah kali menyebut tentang rukun Islam dan rukun Iman tapi kita lupa tentang Rukun Ihsan yang berperanan meneguhkan Rukun Islam dan Rukun Iman.

Contoh, ramai yang dapat menunaikan ibadat solat (Rukun Islam), percaya adanya hari kiamat (Rukun Iman) tetapi mereka melakukan kerosakan di muka bumi ini dengan hawa nafsu dan tangan-tangan mereka kerana tidak diperhatikan oleh Allah atas setiap perbuatan mereka itu (Rukun Ihsan).

Rukun Ihsan akan mengarahkan hati kita di dalam pengalaman seharian. Kerana pastinya kita perlu menyedari dan mempunyai jawapan kepada dua persoalan teras tentang amalan seharian kita;

1) Kenapa kita perlu beramala ?
2) Kepada siapa kita beramal ?

Selalunya juga kita akan mendengar pernytaan yang berbunyi, " Allah tidak melihat kecantikan, ketampanan, harta-benda ataupun pangkat dan darjat manusia tetapi Allah akan melihat apa yang ada di dalam hati manusia ". Jadi apakah yang dimaksudkan dengan Rukun Ihsan itu? Berdasarkan hadis dari Saidina Umar ra seperti yang tersebut di atas, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"...Terangkan kepadaku tentang Ihsan. Baginda bersabda: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihat Nya, maka sesungguhnya Dia tetap melihatmu." [HR: Muslim]

Allah memerintahkan orang beriman untuk bertaqwa kepada Allah. Dalam Kitab Bidayatul Hidayah, Hujjatul Islam Imam Ghazali rahimallah membahagikan taqwa kepada dua, iaitu:

1) Taqwa zahir seperti solat, puasa, zakat dan haji
2) Taqwa batin seperti ikhlas dan ihsan

Seterusnya kita membicarakan tentang Rukun Ihsan yang kedua merujuk pada mafhum ayat Al-Quran yang bermkasud:
" ...Dan bertaqwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakal." [Al-Maidah:11]

Firman Allah ini menjelaskan bahawa sesudah seseorang itu bertaqwa, Allah memerintah melakukan tahap lanjutan Ihsan iaitu tawakal. Perhatikan kalimah 'bertaqwalah' dan bersambung pula dengan kalimah 'bertawakal' . Jelasnya bahawa tawakal menjadi Rukun Ihsan yang kedua.

Apakah masih ada Rukun Ihsan yang selanjutnya? Iblis memang pernah bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan seluruh umat manusia, tetapi Iblis laknatullah sendiri yang menyatakan bahawa ia tidak mampu menyesatkan orang-orang yang "mukhlinalahuddin". Suatu penjelasan dari Allah SWT bahawa tingkat Mukhlis adalah maqam tertinggi di sisi Allah dan ia merupakan Rukun Ihsan yang ketiga.

KESIMPULAN:
Sebagai kesimpulannya bahawa Rukun Ihsan ada 3 perkara, yang pertama Taqwa, yang kedua Tawakal dan yang ketiga Ikhlas. Mengapa Alla dan Rasul Nya dalam urusan Ihsan tidak menjelaskan secara terperinci sebagaimana dijelaskannya tentang Rukun Islam dan Rukun Iman itu ketentuan atau ketetapan Allah yang Dialah sahaja Yang Maha Mengetahui asbabnya.

Wallahualam.. #c&p

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^



Wednesday, April 9, 2014

MASJID: RUMAH UTAMA SETIAP MUKMIN


Bismillah,,assalamualaikum

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
" Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah; (dengan adanya ciri-ciri tersebut) maka diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk." [Surah at-Taubah:18]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
" Sesiapa yang berwuduk di rumahnya dan datang ke masjid, maka dia (seperti) menziarahi Allah. Sudah tentulah menjadi hak Allah SWT untuk memuliakan orang yang menziarahi Nya." [Riwayat al-Tabarani]

KELEBIHAN TETAMU TERHORMAT
Beruntung sungguh manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagai tetamu Nya. Sekiranya kita dijemput ke majlis santapan istana sudah merasakan begitu istimewa dan mendapat pengiktirafan yang tertinggi, inikan pula kemuliaan yang diberikan oleh Raja bagi segala raja, sudah tentu ia lebih istimewa dan bermakna dalam hidup kita.

Bukan sekadar itu sahaja, Allah menambahkan lagi kepada tetamu-tetamu Nya dengan nikmat ketenangan yang menyelimuti hati mereka. Maka, ibadahnya menjadi lazat, hatinya lebih khusyuk dan kehidupan mereka sudah tentu berkat di dunia dan di akhirat.

Sejak awal-awal lagi Baginda SAW telah memotivasikan kita untuk kerap memakmurkan rumah Allah dengan mengungkapkan:
" Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan Nya. Mereka ialah pemimpin yang adil, anak muda yang sentiasa beribadah kepada Allah, seseorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah dan seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian bercucuran air matanya." [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Subhanallah, istimewa sungguh mereka yang melatih dirinya untuk menjadi tetamu terhormat Allah SWT pada setiap masa dengan sentiasa 'mengikat' hatinya dengan masjid!

TAKUT KEPADA ALLAH
Menerusi ayat ini, Allah juga menggambarkan ciri-ciri manusia yang bakal memperoleh hidayah Allah. Antaranya termasuklah mereka yang menjaga solat, mengeluarkan zakat dan tidak takut selain daripada Allah SWT.

Setelah beriman dengan Allah, mereka wajib mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat. Dari segi tersiratnya, solat ini menunjukkan kewajipan kita menjaga keutuhan hubungan dengan Allah SWT. Manakala zakat pula mengisyaratkan kita wajib membina hubungan yang baik sesama manusia.

Menurut Ibn 'Asyur dalam tafsirnya, seseorang Mukmin itu mungkin merasa takut pada sesuatu seperti singa ataupun musuh. Tetapi jika dihimpunkan kedua-dua jenis ketakutan ini, ia tidak lebih hanya takut kepada sesama makhluk sahaja. Sedangkan ketakutan kepada Allah itu lebih diutamakan daripada selainnya.

Seorang Muslim tidak akan mengorbankan ketakutannya kepada Allah demi kepentingan dunia. Sedangkan seorang musyrik mungkin akan mengorbankan ketakutannya kepada Tuhannya apabila terpaksa. Secara semula jadinya, tabiat ini membezakan antara seorang Muslim dengan musyrik.

IKAT HATI DENGAN MASJID
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
" Jika engkau melihat seseorang lelaki itu sentiasa ke masjid, maka saksikanlah bahawa dia itu beriman." [Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi]

Seseorang yang beriman, pasti hatinya terhibur untuk kerap berulang-alik ke masjid. Tidak kira sama ada jauh mahupun dekat, siang ataupun malam serta panas atau hujan, ia tetap berusaha ke masjid. Inilah salah satu manifestasi apabila seseorang itu benar-benar beriman.

Maka, ikatlah hati kita dengan masjid untuk membina keakraban hubungan dengan Allah !

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^


Tuesday, April 8, 2014

KAHWIN MUDA TENANG JIWA


bismillah,,assalamualaikum

Aku masih ingat, sewaktu pengajian di univerisiti dahulu, dari tahun pertama hingga tahun terkahir pengajian, kami menerima kad undangan perkahwinan daripada rakan-rakan sepengajian hampir saban tahun. Waktu itu timbul rasa iri melihat rakan-rakan berkemampuan untuk berkahwin, malah direstui ibu bapa pula.

TENTANGAN IBU BAPA
Sememangnya antara cabaran paling besar untuk berkahwin pada usia muda ialah tentangan daripada ibu bapa. Apabila tiada sokongan dan restu daripada mereka, sesebuah menara perkahwinan itu sukar untuk berdiri tegap.

" Mahu bagi anak isteri kamu makan pasir? "

" Sudah gatal sangat mahu menikah? "

Itulah antara lontaran ibu bapa yang sering memukul emosi anak-anak remaja yang mahu mengikat tali perkahwinan pada usia muda. Ibu bapa lebih rela melihat anak-anak mereka menjalinkan hubungan cinta tanpa ikatan yang sah sekalipun hubungan itu boleh menjerumuskan mereka ke lembah penzinaan.

Bercakap soal kahwin muda, aku mempunyai seorang bekas pelajar yang sememangnya amat muda dalam menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan bakal ibu. Dia seorang pelajar IPT. Usianya belum pun mencecah 20 tahun. Sebelum pernikahannya, terdengar pelbagai buah mulut orang mengenai hasratnya berkahwin muda.

" Kenapa tergesa-gesa? Biarlah habis belajar dahulu? "

" Fokus pada pelajaran nanti akan terganggu. "

" Berkawanlah dulu. Takkan lari gunung dikejar. "

JAMINAN ALLAH
Ujaran tersebut sedikit mengganggu. Bagaimanapun, dia tetap menggagahkan diri meneruskan hasrat suci itu. Dia jelas dengan niatnya mahu menyahut seruan Allah SWT seperti yg difirmankan-Nya dalam surah al-Nur ayat 32:
" Dan nikahlah orang bujang dalam kalangan kamu dan juga orang yang layak menikah dalam kalangan hamba sahaya kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaan Nya. Allah Maha Luas pemberian Nya lagi Maha Mengetahui. "

Dalam Tafsir al-Qurtubi, ayat ini menjelaskan bahawa menjadi suatu larangan kepada ibu bapa yang cuba menghalang anak-anak daripada berkahwin disebabkan kerisauan mereka terhadap kemampuan anak-anak mencari nafkah.

Hal ini kerana Allah SWT sendiri sudah memberikan jaminan untuk membantu hamba Nya yang berkahin demi mencari keredaan Nya dengan kemampuan dan kekayaan.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa 'kemampuan' dan 'kekayaan' yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah kekayaan dari sudut material, sebaliknya kaya jiwa atau kaya dari sudut akal budi. Selain itu, ayat tersebut membawa maksud Allah SWT akan memberikannya kekayaan dengan pasangan yang halal supaya dia selamat daripada zina.

Imam al-Ghazali pula berpendapat, dengan perkahwinan, seseorang itu dapat menjaga dirinya daripada kerosakan agama atau akhlaknya kerana perkara yang paling merosakkan akhlak seseorang berpunca daripada perut dan kemaluannya. Justeru, dengan berkahwin, salah satu penyebab utama kerosakan agama akan terpelihara.

PENYEBAB KETIDAKSUBURAN
Ibu bapa seharusnya lebih bimbangkan anak-anak mereka yang tidak berkahwin berbanding berkahwin pada usia muda. Aku telah menemui begitu ramai orang terutamanya wanita yang masih belum bertemu jodoh sekalipun usia sudah mencecah angka 40. 

Kebanyakan daripada mereka mempunyai paras yang cantik dan akhlak yang baik, tetapi masih belum berkahwin kerana hasrat mereka untuk berkahwin pada usia muda ditentang oleh ibu bapa. Sebahagiannya pula, setelah mendapat jodoh masih belum dikurniakan cahaya mata kerana mengalami masalah ketidaksuburan.

Menurut sumber daripada Berita Harian pada tahun 2001, kira-kira 690000 orang iaitu 6.4% daripada wanita negara ini mengalami masalah ketidaksuburan dan memerlukan rawatan fertiliti. Mungkin ramai wanita tidak mengetahui bahawa waktu kesuburan yang paling efektif adalah antara usia 20 dan 24 tahun, dan tahap kesuburan ini akan menurun secara beransur-ansur setelah mencecah usia 30-an.

MENYEMPURNAKAN AGAMA
Bagiku, perkahwinan ialah jalan keselamatan dalam memelihara agama. Rasulullah SAW bersabda: 
" Apabila seorang hamba menikah, maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada separuh yang selebihnya. " [ Riwayat al-Baihaqi]

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^


SUNNAH MENGAJAR ILMU


bismillah,,,assalamualaikum

Begitu mulia profesion ini di sisi Islam. Tidak kira ia digelar tuan guru, pensyarah, ustaz, cikgu, murabbi dan segala macam panggilan sekali pun, ia tetap berstatus yang sama - GURU.

Masyarakat diumpamakan seperti bahan binaan. Maka, gurulah yang akan menyusun dan mengatur 'bahan binaan' ini untuk menjadi bangunan yang hebat. Andai kata seorang guru gagal menyusunnya, sudah pasti binaan itu tidak akan terbina ataupun menunggu masa runtuh semula.

KETERAMPILAN SEORANG PENDIDIK
Ya, Rasulullah SAW juga seorang guru di samping Baginda juga seorang Nabi, pemimpin negara, ayah dan suami. Keterampilan Baginda sebagai pendidik begitu menyerlah dan berjaya.

Lihatlah para sahabat yang mendapat didikan daripada tangan Rasulullah sendiri, semuanya menjadi insan mulia di dunia dan di akhirat. Inilah contoh keterampilan guru yang terbaik untuk kita teladani.

Untuk menjadi guru yang berjaya, maka tirulah guru yang sudah berjaya - Rasulullah SAW. Tirulah penampilan dan gaya didikan Rasulullah. Baginda sentiasa menjaga penampilannya, sentiasa harum, bersih, lemah-lembut dan berperwatakan menarik.

Sekali gus menarik pelajarnya bersemangat dan tidak jemu untuk belajar bersamanya. Dari sudut yang lain, para pelajar juga akan meletakan gurunya sebagai model untuk mereka contohi, sama ada penampilan mahupun keilmuannya.

Inilah yang membuatkan semua yang berguru dengan Baginda akan senang hati dengannya. Malah, turut lebih bersemangat untuk mendalami Islam dan berusaha untuk menjadi yang terbaik.

ADAB GURU DENGAN PELAJAR
Bukan sahaja pelajar yang harus menjaga adab dengan guru, tetapi guru juga harus menjaga adab dengan pelajar. Antaranya:

1) Gunakan intonasi dan komunikasi yang baik dan berkesan dengan pelajar
2) Hormati pelajar, pelajar akan menghormati dan menyenangi kita
3) Bersikap adil dan tidak pilih kasih
4) Sentiasa mendukung cita-cita pelajar dengan memberi panduan yang jelas
5) Jangan memandang rendah atau sombong dengan pelajar

PENDIDIKAN BUKAN HAK EKSKLUSIF
Setiap manusia boleh jadi pendidik. Bahkan, jika kita benar-benar ingin menuntut ilmu, seluruh alam ini boleh menjadi guru.

Ilmu yang kita peroleh jangan lokek untuk dikongsi bersama orang lain kerana lebih banyak kita berkongsi, maka lebih banyak yang kita akan kuasai.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Sesungguhnya Allah, para malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi, sehingga semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia." [Riwayat al-Tirmizi]

Oleh itu, janganlah kita menjadi orang yang kedekut ilmu kerana dengan ilmu akan menjadi penyelamat kita di alam kubur nanti. Jadilah guru yang terbaik dan boleh dicontohi oleh para pelajarnya.

Biarpun kita bukanlah seorang guru, namun kita masih berpeluang untuk menjadi guru kepada keluarga dan masyarakat kita. InsyaAllah.

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^


Monday, April 7, 2014

EKSPRESI TAUBAT TIKA MUDA


bismillah,,assalamualaikum 

" Alah, kau jangan risau. Kita ponteng kelas baru dua kali. Maksimum boleh ponteng tiga kali. Nanti kita pandai-pandailah kelentong. Apa nak takut, esok kita taubat la. "

Masih tegarkah manusia bergelumang dengan dosa dalam keadaan kita sedar bahawa perkara yang dilakukan bertentangan dengan kehendak Islam? Bukankah fitrah manusia inginkan perkara kebaikan? Tanya kepada diri, adakah masih ada hari esok untuk kita bertaubat?

AKU MASIH MUDA
Muda biasanya dikira dengan tempoh masa. Angka yang banyak dikatakan lebih tua, yang sedikit itulah yang muda. Contohnya, pokok yang baru tumbuh dan menghijau dikenali sebagai pohon muda, manakala pokok yang sudah berakar kuat serta rendang, itukah pohon tua. Seseorang yang berumur 17 tahun dikira muda, dan insan berusia 57 tahun dikira tua.

Namun, pernahkah kita bayangkan umur 17 itu ialah angka terakhir yang dapat dicapai dalam hidup kita? Sudah pasti umur 57 tidak akan kita tempuh, bahkan umur 18 sekalipun! Itulah hakikat kematian yang sedia diketahui, namun sering dilupai. Lupa kerana alpa dengan pesona dunia, seolah-olah tertutup dengan hakikat kebenaran akhirat.

Jangan pernah menganggap umur belasan atau awal 20-an itu terlalu muda untuk kita bertaubat. Siapa kita yang dapat menduga bahawa umur yang masih muda itu bersamaan dengan sedikit dosa yang telah dilakukan?

Seharusnya, taubat tidak mengenal usia. Jangan bercita-cita untuk bertaubat ketika tua, tetapi berazamlah untuk mengelak daripada melakukan dosa dan sentiasa bertaubat atas perkara buruk yang telah dilakukan setiap hari.

EKSPRESIKAN TAUBATMU
Terdapat banyak langkah yang boleh diatur untuk mengekspresikan taubat tika muda:

1) Keazaman tinggi melakukan kebaikan.
Sebelum berazam melaksanakan perkara kebaikan, hadirkan rasa insaf dalam hati kita. Hati yang tulus akan menyesali peraturan yang telah dilanggar dan dosa yang dilakukan. Keinsafan dan penyelasan inilah yang akan menyebabkan seseorang serik untuk mengulangi kesilapan yang telah dilakukan. 

Seterusnya, tetapkan niat untuk sentiasa melakukan perkara yang baik-baik sahaja. Perkara yang baik membuatkan hati tenang dan membuahkan pahala. Sebaliknya, perkara yang buruk pula akan menyebabkan resah gelisah dan mendatangkan mudarat.

Biarpun masih muda, tidak salah memperbanyakkan pahala kebaikan. Ingat, pahala itu hadiah buat orang yang melakukan suruhan Allah.

2) Melazimi istighfar
Jika dahulu kita lancar mengeluarkan kata-kata seperti, "alahai, aduh, tak guna" dan perkataan seumpamanya apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak memuaskan hati, cubalah untuk melazimi istighfar.

Beristighfarlah selalu apabila ditimpa musibah; kecil atau besar. Musibah itu ujian buat kita. Mungkin ada dosa yang telah kita lakukan tanpa kita sedari, lalu Allah menduga sedikit diri kita. Justeru, praktikkan amalan ini dalam kehidupan seharian kerana itulah salah satu cara mengeskpresikan taubat. Bukankah istighfar itu bererti memohon keampunan?

3) Solat Taubat
Jiwa yang bersih setelah bertaubat daripada kesilapan dan dosa yang telah dilakukan akan mencintai solat dan ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah. Solat fardhu lima waktu yang dijaga dengan baik akan mendorong seseorang itu memperbanyak solat sunat, termasuklah solat sunat taubat.

Apabila berkehendakan sesuatu seperti ingin lulus dalam peperiksaan, solat hajat didirikan. Begitu juga apabila ingin memohon keampunan dan menyesali dosa yang dilakukan. Tunaikanlah solat taubat.

Pelaksanaannya sama seperti solat sunat lain. Biarpun hanya amalan sunat, tetapi siapa kita untuk mengaku bahawa diri ini terhindar daripada melakukan kesilapan?

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^


Sunday, April 6, 2014

TIP KAHWIN MUDA

Bismillah,,assalamualaikum 

Jika sudah cukup persediaan, namun umur pula menjadi sebab mahligai yang ingin dibina tidak mendapat sokongan keluarga, tip ini mungkin boleh membantu:

1) Jaga ibadah berbentuk rohani. Selain ibadah wajib, ibadah sunat juga perlu dilaksanakan dengan istiqamah. Seterusnya, tunjukkan sahsiah yang baik kepada ibu baa, keluarga dan orang di sekeliling.

2) Buktikan kepada ibu bapa, termasuk bakal mentua, anda mempunyai pendapatan meskipun masih belajar. Anatara cadangannya, buat perniagaan secara kecil-kecilan, menulis dan lain-lain. Ceritakan juga simpanan anda untuk menyakinkan mereka.

3) Bertindaklah secara matang dan berdikari ketika menghadapi apa jua situasi. Mana mungkin ibu bapa membenarkan anda berkahwin sekiranya masih berharap sepenuhnya pertolongan mereka.

4) Sekiranya masih belajar, fokus anda ialah pelajaran. Fahamkan keluarga dan pasangan tentang komitmen anda. Sudah banyak kisah pasangan berkahwin muda berjaya dalam pelajaran mereka. Buktikan anda juga boleh berjaya.

5) Jangan jadikan nafsu sebagai sebab utama berkahwin. Maklumkan kepada ibu bapa, anda ingin mengikut sunnah Nabi, menurut tuntutan syariat dan menjaga kehormatan diri.

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^


Friday, April 4, 2014

KITA SEMUA PEJUANG ISLAM

Bismillah,,assalamualaikum ^_^

Menuntut ilmu memerlukan mujahadah kerana ia menuntut pengorbanan, komitmen dan fokus yang tinggi dalam jangka masa yang sangat panjang. Kdangkala terpaksa mengahbiskan masa yang terlalu lama untuk mempelajari suatu ilmu sebelum boleh memahami suatu ilmu lain yang diingini.

Ya, perjalanan menuntut ilmu sering kali berliku dan menyukarkan. Masakan tidak, permulaanya sahaja kita sudah terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menampung kos pengajian.

Emosi juga boleh terganggu kerana terpaksa berdikari dan berjauhan dengan keluarga. Bagi menjimatkan kos, makanan pun jarang-jarang terisi di dalam perut. Rakan sebaya pula tampak bersuka ria dengan nikmat dunia, manakala kita terpaksa menguliti buku dan ilmu.

Jangan berduka, segala pengorbanan ini dilihat sebagai jihad dan perjuangan kita dalam meraih reda Allah. Bahkan, jihad ini setaraf dengan jihad di medan peperangan!

Seorang ahli tafsir; Abu Bakar al-Jaza'iri berpendapat kelebihan antara menuntut ilmu dengan jihad di jalan Allah itu sama darjatnya, dengan syarat kedua-duanya mesti berlandaskan niat yang ikhlas dan baik.

Bukan itu sahaja, Allah SWT juga mengiktiraf kedudukan para penuntut ilmu menerusi firman-Nya: "Dan tidak patut bagi setiap yang beriman keluar semuanya(pergi berperang). Maka hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap kumpulan antara mereka untuk mendalami ilmu agama dan mengajar kaumnya apabila mereka kembali kepadanya. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga" [surah at-Taubah:122]

Maksud ayat ini menggambarkan komuniti Muslim perlu terbahagi kepada dua kelompok:
1) Mereka yang pergi berperang mempertahankan agama Allah
2) Mereka yang pergi 'berperang' menuntut ilmu Allah (ilmu agama mahupun akademik)

Kedua-dua kelompok ini perlu ada dalam satu komuniti Muslim. Kedua-duanya berkepentingan dalam sesebuah masyarakat Islam yang seimbang.

Menurut al-Shaukani yang mntafsirkan ayat ini dalam kitab tafsirnya; Fath al-Qadir: "Sesungguhnya kumpulan pergi berjihad dan sebahagian yang tinggal perlu menuntut ilmu. Tujuannya supaya apabila sebahagian yang pergi berperang nanti pulang, mereka yang menuntut ilmu itu akan mengajarkan pula kepadanya."

Sambungnya lagi: "Ataupun sebahagian yang menuntut ilmu ini akan pergi ke suatu tempat untuk memperoleh ilmu. Setelah mendalami kefahaman, mereka akan kembali kepada masyarakatnya untuk mengajar ilmu."

Selanjutnya, ayat ini juga menjelaskan tujuan utama menuntut ilmu adalah untuk disebarkan dengan memberi peringatan kepada masyarakat. Peringatan yang disebutkan ini bermaksud menyampaikan berita gembira tentang syurga dan amaran keras mengenai neraka.

Inilah peranan utama kita sebagai penuntut ilmu yang betanggungjawab untuk berkongsi ilmu kepada masyarakat supaya semakin bertakwa kepada Allah. Peringatan itu akan membuatkan semua anggota masyarakat lebih beringat dan berhati-hati agar tidak melanggar perintah Allah.

Jika kita sedang berjuang di medan ilmu, usah mudah kecundang. Cabarannya tidak sepedih dengan mereka yang berjuang menentang musuh Allah di medan peperangan.

Medan ilmu tidak membuatkan nyawa kita terancam dan kematian ahli keluarga. Maka, mengapa mahu mengalah? Usah berhenti belajar kerana kita sedang berjuang. Sunnah para pejuang, mereka tidak pernah mengalah. Sekiranya rebah, mereka akan bangkit semula untuk berjuang.

Di medan ilmu ini, ada dua 'pembunuhan'. Berjuang 'membunuh' kemalasan atau kita yang 'terbunuh' di tangan kemalasan!

:: moga bermanfaat ^_^

PERKAHWINAN..JANGAN SAMPAI GAME OVER !!


bismillah..
assalamualaikum..kahwin,,kahwin,,kahwin..semua orang nak kahwin kan?? jom baca :)

Berkahwin tidak semudah menuturkan kata. Apatah lagi menganggap pernikahan itu semata-mata ingin mencari bahagia. Selangkah masuk ke 'gelanggang' ini, mungkin mengundang masalah jika tersilap cara. Inilah realiti perkahwinan. Ujian dan cabaran sangat menguji kesabaran, Maka, di manakah kebahagiaan sebenar yang dicari ?

Walaubagaimanapun, tidak selayaknya kita berputus asa sebelum berjuang. Adat seorang pejuang tidak kenal erti kalah. Sekali ia rebah, ia akan bangkit semula untuk mengorak langkah. Namun, 'bersilat' di gelanggang ini memerlukan ilmu, latihan dan persediaan. Tidak boleh tergesa-gesa.

Syarat berkahwin bagi anak muda bukan sahaja sudah baligh, tetapi juga mesti akil(berakal). Baligh sahaja tanpa akil, ia seolah-olah seperti masih di buaian. Maka, objektif perkahwinannya pada usia muda hanya sekadar sebagai penyekat maksiat. Lebih parah lagi, ada yang menyangka perkahwinan sentiasa 'dihujani' bahagia tanpa cabaran yang lebih mencabar setelah hidup bekeluarga. Jika itulah pemikirannya, anak muda masih belum bersedia untuk menginjak ke alam perkahwinan.

Pemburuan bahagia bagi pasangan muda memerlukan pengorbanan dan kematangan. Adanya kedua-dua unsur ini, kebahagiaan yang lebih realistik akan diundang. Nabi Muhammad SAW ada menyebut: "Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, maka Allah akan mengujinya dengan kesusahan." [Riwayat al-Bukhari]

Perkahwinan ibarat permainan video. Jika pada awal-awal perkahwinan perasaan sentiasa berbunga, mungkin level itu mudah dihadapi kerana cabaran sedikit mudah. Namun semakin lama, semakin sukar levelnya. Maka mahu berjaya, kita perlukan kebijaksanaan dan usaha. Tetapi sekiranya give up, nak game over !

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^

AL-ALIM



assalamualaikum,,apa khabar iman anda? sudah lama rasanya jari-jemari saya tidak singgah di sini..kesibukan melanda..melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar,businesswoman,hamba Allah & anak.

Ada ketikanya kita mengharap sesuatu perkara terjadi selepas kita merancang dengan sebaik-baiknya. Namun akhirnya perkara itu tidak berlaku seperti yang dirancang. Maka, kita akan mula tertanya-tanya mengapa.

Pada ketika yang lain pula, ada sesuatu perkara yang terjadi sedangkan kita tidak pernah memintanya. Bahkan perkara itu tidak pernah langsung terlintas di fikiran. Kita turut terpinga-pinga. Mengapa?????

Apa sahaja perkara termasuk yang kelihatan mahupun yang tersembunyi, semuanya dalam percaturan Allah. Pengetahuan Allah al-Alim meliputi segala yang terjadi, akan terjadi malah yang tidak trjadi. Pengetahuan Nya tidak terhitung luasnya dan ilmu Nya meliputi setiap inci perkara tanpa ada yang terkecuali.

Dalam al-Quran, perkataan pertama dalam wahyu terawal menyebut 'iqra'. Perkataan ini digandingkan dengan nama Nya; Al-Akram iaitu Yang Maha Pemurah. Antara bukti kemurahan Nya, Allah memberikan kita akal, kecenderungan dan keinginan untuk menyingkap serta mendalami khazanah ilmu Nya yang luas.

Kita insan yang punya lisan. Lisan ini boleh sahaja menuturkan apa-apa sahaja yang indah, hingga membuatkan insan lain terpesona dan kagum dengannya. Namun kita juga punya hati. Hati ini juga boleh menafikan apa-apa sahaja yang dituturkan lisan tanpa ada seorang insan pun yang mengetahui. Yang mengetahui hanyalah Dia, Allah Yang Maha Mengetahui.

Justeru jika ingin melakukan kebaikan, lakukanlah tanpa bertangguh lagi sungguhpun kebaikan itu hanya sebesar zarah. Sesungguhnya Allah mengetahui detak hati yang suci itu. Malah Dia mula menitipkan ganjaran sejak hati itu mula berdetak.

Sebaliknya jika hati ingin melakukan kejahatan, segeralah hentikan hasutan hati itu. Allah juga mengetahuinya. Namun kerana kasih sayang Nya, tiada dituliskan dosa. Dosa hanya tertulis apabila hasutan jahat itu kita turutkan.

Ya, keimanan kepada al-Alim akan membawa kita lebih dekat kepada Nya, malah akan lebih terasa kebersamaan Nya !

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^