Bismillah,,assalamualaikum ^_^
Menuntut ilmu memerlukan mujahadah kerana ia menuntut pengorbanan, komitmen dan fokus yang tinggi dalam jangka masa yang sangat panjang. Kdangkala terpaksa mengahbiskan masa yang terlalu lama untuk mempelajari suatu ilmu sebelum boleh memahami suatu ilmu lain yang diingini.
Ya, perjalanan menuntut ilmu sering kali berliku dan menyukarkan. Masakan tidak, permulaanya sahaja kita sudah terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menampung kos pengajian.
Emosi juga boleh terganggu kerana terpaksa berdikari dan berjauhan dengan keluarga. Bagi menjimatkan kos, makanan pun jarang-jarang terisi di dalam perut. Rakan sebaya pula tampak bersuka ria dengan nikmat dunia, manakala kita terpaksa menguliti buku dan ilmu.
Jangan berduka, segala pengorbanan ini dilihat sebagai jihad dan perjuangan kita dalam meraih reda Allah. Bahkan, jihad ini setaraf dengan jihad di medan peperangan!
Seorang ahli tafsir; Abu Bakar al-Jaza'iri berpendapat kelebihan antara menuntut ilmu dengan jihad di jalan Allah itu sama darjatnya, dengan syarat kedua-duanya mesti berlandaskan niat yang ikhlas dan baik.
Bukan itu sahaja, Allah SWT juga mengiktiraf kedudukan para penuntut ilmu menerusi firman-Nya: "Dan tidak patut bagi setiap yang beriman keluar semuanya(pergi berperang). Maka hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap kumpulan antara mereka untuk mendalami ilmu agama dan mengajar kaumnya apabila mereka kembali kepadanya. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga" [surah at-Taubah:122]
Maksud ayat ini menggambarkan komuniti Muslim perlu terbahagi kepada dua kelompok:
1) Mereka yang pergi berperang mempertahankan agama Allah
2) Mereka yang pergi 'berperang' menuntut ilmu Allah (ilmu agama mahupun akademik)
Kedua-dua kelompok ini perlu ada dalam satu komuniti Muslim. Kedua-duanya berkepentingan dalam sesebuah masyarakat Islam yang seimbang.
Menurut al-Shaukani yang mntafsirkan ayat ini dalam kitab tafsirnya; Fath al-Qadir: "Sesungguhnya kumpulan pergi berjihad dan sebahagian yang tinggal perlu menuntut ilmu. Tujuannya supaya apabila sebahagian yang pergi berperang nanti pulang, mereka yang menuntut ilmu itu akan mengajarkan pula kepadanya."
Sambungnya lagi: "Ataupun sebahagian yang menuntut ilmu ini akan pergi ke suatu tempat untuk memperoleh ilmu. Setelah mendalami kefahaman, mereka akan kembali kepada masyarakatnya untuk mengajar ilmu."
Selanjutnya, ayat ini juga menjelaskan tujuan utama menuntut ilmu adalah untuk disebarkan dengan memberi peringatan kepada masyarakat. Peringatan yang disebutkan ini bermaksud menyampaikan berita gembira tentang syurga dan amaran keras mengenai neraka.
Inilah peranan utama kita sebagai penuntut ilmu yang betanggungjawab untuk berkongsi ilmu kepada masyarakat supaya semakin bertakwa kepada Allah. Peringatan itu akan membuatkan semua anggota masyarakat lebih beringat dan berhati-hati agar tidak melanggar perintah Allah.
Jika kita sedang berjuang di medan ilmu, usah mudah kecundang. Cabarannya tidak sepedih dengan mereka yang berjuang menentang musuh Allah di medan peperangan.
Medan ilmu tidak membuatkan nyawa kita terancam dan kematian ahli keluarga. Maka, mengapa mahu mengalah? Usah berhenti belajar kerana kita sedang berjuang. Sunnah para pejuang, mereka tidak pernah mengalah. Sekiranya rebah, mereka akan bangkit semula untuk berjuang.
Di medan ilmu ini, ada dua 'pembunuhan'. Berjuang 'membunuh' kemalasan atau kita yang 'terbunuh' di tangan kemalasan!
:: moga bermanfaat ^_^
No comments:
Post a Comment