bismillah,,assalamualaikum
" Alah, kau jangan risau. Kita ponteng kelas baru dua kali. Maksimum boleh ponteng tiga kali. Nanti kita pandai-pandailah kelentong. Apa nak takut, esok kita taubat la. "
Masih tegarkah manusia bergelumang dengan dosa dalam keadaan kita sedar bahawa perkara yang dilakukan bertentangan dengan kehendak Islam? Bukankah fitrah manusia inginkan perkara kebaikan? Tanya kepada diri, adakah masih ada hari esok untuk kita bertaubat?
AKU MASIH MUDA
Muda biasanya dikira dengan tempoh masa. Angka yang banyak dikatakan lebih tua, yang sedikit itulah yang muda. Contohnya, pokok yang baru tumbuh dan menghijau dikenali sebagai pohon muda, manakala pokok yang sudah berakar kuat serta rendang, itukah pohon tua. Seseorang yang berumur 17 tahun dikira muda, dan insan berusia 57 tahun dikira tua.
Namun, pernahkah kita bayangkan umur 17 itu ialah angka terakhir yang dapat dicapai dalam hidup kita? Sudah pasti umur 57 tidak akan kita tempuh, bahkan umur 18 sekalipun! Itulah hakikat kematian yang sedia diketahui, namun sering dilupai. Lupa kerana alpa dengan pesona dunia, seolah-olah tertutup dengan hakikat kebenaran akhirat.
Jangan pernah menganggap umur belasan atau awal 20-an itu terlalu muda untuk kita bertaubat. Siapa kita yang dapat menduga bahawa umur yang masih muda itu bersamaan dengan sedikit dosa yang telah dilakukan?
Seharusnya, taubat tidak mengenal usia. Jangan bercita-cita untuk bertaubat ketika tua, tetapi berazamlah untuk mengelak daripada melakukan dosa dan sentiasa bertaubat atas perkara buruk yang telah dilakukan setiap hari.
EKSPRESIKAN TAUBATMU
Terdapat banyak langkah yang boleh diatur untuk mengekspresikan taubat tika muda:
1) Keazaman tinggi melakukan kebaikan.
Sebelum berazam melaksanakan perkara kebaikan, hadirkan rasa insaf dalam hati kita. Hati yang tulus akan menyesali peraturan yang telah dilanggar dan dosa yang dilakukan. Keinsafan dan penyelasan inilah yang akan menyebabkan seseorang serik untuk mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.
Seterusnya, tetapkan niat untuk sentiasa melakukan perkara yang baik-baik sahaja. Perkara yang baik membuatkan hati tenang dan membuahkan pahala. Sebaliknya, perkara yang buruk pula akan menyebabkan resah gelisah dan mendatangkan mudarat.
Biarpun masih muda, tidak salah memperbanyakkan pahala kebaikan. Ingat, pahala itu hadiah buat orang yang melakukan suruhan Allah.
2) Melazimi istighfar
Jika dahulu kita lancar mengeluarkan kata-kata seperti, "alahai, aduh, tak guna" dan perkataan seumpamanya apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak memuaskan hati, cubalah untuk melazimi istighfar.
Beristighfarlah selalu apabila ditimpa musibah; kecil atau besar. Musibah itu ujian buat kita. Mungkin ada dosa yang telah kita lakukan tanpa kita sedari, lalu Allah menduga sedikit diri kita. Justeru, praktikkan amalan ini dalam kehidupan seharian kerana itulah salah satu cara mengeskpresikan taubat. Bukankah istighfar itu bererti memohon keampunan?
3) Solat Taubat
Jiwa yang bersih setelah bertaubat daripada kesilapan dan dosa yang telah dilakukan akan mencintai solat dan ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah. Solat fardhu lima waktu yang dijaga dengan baik akan mendorong seseorang itu memperbanyak solat sunat, termasuklah solat sunat taubat.
Apabila berkehendakan sesuatu seperti ingin lulus dalam peperiksaan, solat hajat didirikan. Begitu juga apabila ingin memohon keampunan dan menyesali dosa yang dilakukan. Tunaikanlah solat taubat.
Pelaksanaannya sama seperti solat sunat lain. Biarpun hanya amalan sunat, tetapi siapa kita untuk mengaku bahawa diri ini terhindar daripada melakukan kesilapan?
:: moga bermanfaat untuk semua ^_^
No comments:
Post a Comment