Tuesday, April 8, 2014

KAHWIN MUDA TENANG JIWA


bismillah,,assalamualaikum

Aku masih ingat, sewaktu pengajian di univerisiti dahulu, dari tahun pertama hingga tahun terkahir pengajian, kami menerima kad undangan perkahwinan daripada rakan-rakan sepengajian hampir saban tahun. Waktu itu timbul rasa iri melihat rakan-rakan berkemampuan untuk berkahwin, malah direstui ibu bapa pula.

TENTANGAN IBU BAPA
Sememangnya antara cabaran paling besar untuk berkahwin pada usia muda ialah tentangan daripada ibu bapa. Apabila tiada sokongan dan restu daripada mereka, sesebuah menara perkahwinan itu sukar untuk berdiri tegap.

" Mahu bagi anak isteri kamu makan pasir? "

" Sudah gatal sangat mahu menikah? "

Itulah antara lontaran ibu bapa yang sering memukul emosi anak-anak remaja yang mahu mengikat tali perkahwinan pada usia muda. Ibu bapa lebih rela melihat anak-anak mereka menjalinkan hubungan cinta tanpa ikatan yang sah sekalipun hubungan itu boleh menjerumuskan mereka ke lembah penzinaan.

Bercakap soal kahwin muda, aku mempunyai seorang bekas pelajar yang sememangnya amat muda dalam menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan bakal ibu. Dia seorang pelajar IPT. Usianya belum pun mencecah 20 tahun. Sebelum pernikahannya, terdengar pelbagai buah mulut orang mengenai hasratnya berkahwin muda.

" Kenapa tergesa-gesa? Biarlah habis belajar dahulu? "

" Fokus pada pelajaran nanti akan terganggu. "

" Berkawanlah dulu. Takkan lari gunung dikejar. "

JAMINAN ALLAH
Ujaran tersebut sedikit mengganggu. Bagaimanapun, dia tetap menggagahkan diri meneruskan hasrat suci itu. Dia jelas dengan niatnya mahu menyahut seruan Allah SWT seperti yg difirmankan-Nya dalam surah al-Nur ayat 32:
" Dan nikahlah orang bujang dalam kalangan kamu dan juga orang yang layak menikah dalam kalangan hamba sahaya kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaan Nya. Allah Maha Luas pemberian Nya lagi Maha Mengetahui. "

Dalam Tafsir al-Qurtubi, ayat ini menjelaskan bahawa menjadi suatu larangan kepada ibu bapa yang cuba menghalang anak-anak daripada berkahwin disebabkan kerisauan mereka terhadap kemampuan anak-anak mencari nafkah.

Hal ini kerana Allah SWT sendiri sudah memberikan jaminan untuk membantu hamba Nya yang berkahin demi mencari keredaan Nya dengan kemampuan dan kekayaan.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa 'kemampuan' dan 'kekayaan' yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah kekayaan dari sudut material, sebaliknya kaya jiwa atau kaya dari sudut akal budi. Selain itu, ayat tersebut membawa maksud Allah SWT akan memberikannya kekayaan dengan pasangan yang halal supaya dia selamat daripada zina.

Imam al-Ghazali pula berpendapat, dengan perkahwinan, seseorang itu dapat menjaga dirinya daripada kerosakan agama atau akhlaknya kerana perkara yang paling merosakkan akhlak seseorang berpunca daripada perut dan kemaluannya. Justeru, dengan berkahwin, salah satu penyebab utama kerosakan agama akan terpelihara.

PENYEBAB KETIDAKSUBURAN
Ibu bapa seharusnya lebih bimbangkan anak-anak mereka yang tidak berkahwin berbanding berkahwin pada usia muda. Aku telah menemui begitu ramai orang terutamanya wanita yang masih belum bertemu jodoh sekalipun usia sudah mencecah angka 40. 

Kebanyakan daripada mereka mempunyai paras yang cantik dan akhlak yang baik, tetapi masih belum berkahwin kerana hasrat mereka untuk berkahwin pada usia muda ditentang oleh ibu bapa. Sebahagiannya pula, setelah mendapat jodoh masih belum dikurniakan cahaya mata kerana mengalami masalah ketidaksuburan.

Menurut sumber daripada Berita Harian pada tahun 2001, kira-kira 690000 orang iaitu 6.4% daripada wanita negara ini mengalami masalah ketidaksuburan dan memerlukan rawatan fertiliti. Mungkin ramai wanita tidak mengetahui bahawa waktu kesuburan yang paling efektif adalah antara usia 20 dan 24 tahun, dan tahap kesuburan ini akan menurun secara beransur-ansur setelah mencecah usia 30-an.

MENYEMPURNAKAN AGAMA
Bagiku, perkahwinan ialah jalan keselamatan dalam memelihara agama. Rasulullah SAW bersabda: 
" Apabila seorang hamba menikah, maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada separuh yang selebihnya. " [ Riwayat al-Baihaqi]

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^


No comments:

Post a Comment