Wednesday, April 9, 2014

MASJID: RUMAH UTAMA SETIAP MUKMIN


Bismillah,,assalamualaikum

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
" Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah; (dengan adanya ciri-ciri tersebut) maka diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk." [Surah at-Taubah:18]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
" Sesiapa yang berwuduk di rumahnya dan datang ke masjid, maka dia (seperti) menziarahi Allah. Sudah tentulah menjadi hak Allah SWT untuk memuliakan orang yang menziarahi Nya." [Riwayat al-Tabarani]

KELEBIHAN TETAMU TERHORMAT
Beruntung sungguh manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagai tetamu Nya. Sekiranya kita dijemput ke majlis santapan istana sudah merasakan begitu istimewa dan mendapat pengiktirafan yang tertinggi, inikan pula kemuliaan yang diberikan oleh Raja bagi segala raja, sudah tentu ia lebih istimewa dan bermakna dalam hidup kita.

Bukan sekadar itu sahaja, Allah menambahkan lagi kepada tetamu-tetamu Nya dengan nikmat ketenangan yang menyelimuti hati mereka. Maka, ibadahnya menjadi lazat, hatinya lebih khusyuk dan kehidupan mereka sudah tentu berkat di dunia dan di akhirat.

Sejak awal-awal lagi Baginda SAW telah memotivasikan kita untuk kerap memakmurkan rumah Allah dengan mengungkapkan:
" Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan Nya. Mereka ialah pemimpin yang adil, anak muda yang sentiasa beribadah kepada Allah, seseorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah dan seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian bercucuran air matanya." [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Subhanallah, istimewa sungguh mereka yang melatih dirinya untuk menjadi tetamu terhormat Allah SWT pada setiap masa dengan sentiasa 'mengikat' hatinya dengan masjid!

TAKUT KEPADA ALLAH
Menerusi ayat ini, Allah juga menggambarkan ciri-ciri manusia yang bakal memperoleh hidayah Allah. Antaranya termasuklah mereka yang menjaga solat, mengeluarkan zakat dan tidak takut selain daripada Allah SWT.

Setelah beriman dengan Allah, mereka wajib mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat. Dari segi tersiratnya, solat ini menunjukkan kewajipan kita menjaga keutuhan hubungan dengan Allah SWT. Manakala zakat pula mengisyaratkan kita wajib membina hubungan yang baik sesama manusia.

Menurut Ibn 'Asyur dalam tafsirnya, seseorang Mukmin itu mungkin merasa takut pada sesuatu seperti singa ataupun musuh. Tetapi jika dihimpunkan kedua-dua jenis ketakutan ini, ia tidak lebih hanya takut kepada sesama makhluk sahaja. Sedangkan ketakutan kepada Allah itu lebih diutamakan daripada selainnya.

Seorang Muslim tidak akan mengorbankan ketakutannya kepada Allah demi kepentingan dunia. Sedangkan seorang musyrik mungkin akan mengorbankan ketakutannya kepada Tuhannya apabila terpaksa. Secara semula jadinya, tabiat ini membezakan antara seorang Muslim dengan musyrik.

IKAT HATI DENGAN MASJID
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
" Jika engkau melihat seseorang lelaki itu sentiasa ke masjid, maka saksikanlah bahawa dia itu beriman." [Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi]

Seseorang yang beriman, pasti hatinya terhibur untuk kerap berulang-alik ke masjid. Tidak kira sama ada jauh mahupun dekat, siang ataupun malam serta panas atau hujan, ia tetap berusaha ke masjid. Inilah salah satu manifestasi apabila seseorang itu benar-benar beriman.

Maka, ikatlah hati kita dengan masjid untuk membina keakraban hubungan dengan Allah !

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^


No comments:

Post a Comment