Tuesday, April 8, 2014

SUNNAH MENGAJAR ILMU


bismillah,,,assalamualaikum

Begitu mulia profesion ini di sisi Islam. Tidak kira ia digelar tuan guru, pensyarah, ustaz, cikgu, murabbi dan segala macam panggilan sekali pun, ia tetap berstatus yang sama - GURU.

Masyarakat diumpamakan seperti bahan binaan. Maka, gurulah yang akan menyusun dan mengatur 'bahan binaan' ini untuk menjadi bangunan yang hebat. Andai kata seorang guru gagal menyusunnya, sudah pasti binaan itu tidak akan terbina ataupun menunggu masa runtuh semula.

KETERAMPILAN SEORANG PENDIDIK
Ya, Rasulullah SAW juga seorang guru di samping Baginda juga seorang Nabi, pemimpin negara, ayah dan suami. Keterampilan Baginda sebagai pendidik begitu menyerlah dan berjaya.

Lihatlah para sahabat yang mendapat didikan daripada tangan Rasulullah sendiri, semuanya menjadi insan mulia di dunia dan di akhirat. Inilah contoh keterampilan guru yang terbaik untuk kita teladani.

Untuk menjadi guru yang berjaya, maka tirulah guru yang sudah berjaya - Rasulullah SAW. Tirulah penampilan dan gaya didikan Rasulullah. Baginda sentiasa menjaga penampilannya, sentiasa harum, bersih, lemah-lembut dan berperwatakan menarik.

Sekali gus menarik pelajarnya bersemangat dan tidak jemu untuk belajar bersamanya. Dari sudut yang lain, para pelajar juga akan meletakan gurunya sebagai model untuk mereka contohi, sama ada penampilan mahupun keilmuannya.

Inilah yang membuatkan semua yang berguru dengan Baginda akan senang hati dengannya. Malah, turut lebih bersemangat untuk mendalami Islam dan berusaha untuk menjadi yang terbaik.

ADAB GURU DENGAN PELAJAR
Bukan sahaja pelajar yang harus menjaga adab dengan guru, tetapi guru juga harus menjaga adab dengan pelajar. Antaranya:

1) Gunakan intonasi dan komunikasi yang baik dan berkesan dengan pelajar
2) Hormati pelajar, pelajar akan menghormati dan menyenangi kita
3) Bersikap adil dan tidak pilih kasih
4) Sentiasa mendukung cita-cita pelajar dengan memberi panduan yang jelas
5) Jangan memandang rendah atau sombong dengan pelajar

PENDIDIKAN BUKAN HAK EKSKLUSIF
Setiap manusia boleh jadi pendidik. Bahkan, jika kita benar-benar ingin menuntut ilmu, seluruh alam ini boleh menjadi guru.

Ilmu yang kita peroleh jangan lokek untuk dikongsi bersama orang lain kerana lebih banyak kita berkongsi, maka lebih banyak yang kita akan kuasai.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Sesungguhnya Allah, para malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi, sehingga semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia." [Riwayat al-Tirmizi]

Oleh itu, janganlah kita menjadi orang yang kedekut ilmu kerana dengan ilmu akan menjadi penyelamat kita di alam kubur nanti. Jadilah guru yang terbaik dan boleh dicontohi oleh para pelajarnya.

Biarpun kita bukanlah seorang guru, namun kita masih berpeluang untuk menjadi guru kepada keluarga dan masyarakat kita. InsyaAllah.

:: moga bermanfaat untuk semua ^_^


No comments:

Post a Comment